30 April 2013

Jana Tenaga Elektrik Daripada Timbunan Sampah


SEORANG pekerja memeriksa telaga gas yang dibina di atas tapak pembuangan sampah. 

TERESITA MABIGNAY, 50, sedang menyeterika baju menggunakan tenaga elektrik percuma yang terletak di kawasan pelupusan timbunan sampah.

Teresita tinggal berdekatan dengan pusat pelupusan sampah terbesar di Manila, Filipina yang menjadi pusat pelupusan pertama di negara itu yang berupaya menukarkan gas metana kepada sumber tenaga elektrik.

Para saintis mendakwa proses penguraian sampah untuk menghasilkan gas metana menjadi salah satu penyebab kesan rumah hijau yang mengakibatkan pemanasan global.

Namun, apabila gas metana tersebut diuraikan menggunakan teknologi moden, ia berubah menjadi tenaga elektrik sekali gus menghalang gasnya merebak di atmosfera.

29 April 2013

Memahami Pola Kecenderungan Pengundian

Meraih keberkatan dalam berkempen

Penganalisis politik menemui tiga pola utama kecenderungan pengundian rakyat Malaysia pada setiap musim pilihan raya umum.

Pola pertama ialah kecenderungan memilih parti politik. Kecenderungan ini boleh dikategorikan sebagai kelompok yang bersikap ideal dalam berpolitik. Pola ini amat besar dan berpengaruh. Ia adalah penentu kemenangan sesebuah parti yang bertanding.

Kecenderungan ini lahir daripada pemikiran yang menanggapi kegiatan berpolitik sebagai satu kegiatan berkumpulan atau berjemaah. Agenda dan cita-cita besar politik tidak akan dapat direncanakan dalam bentuk dasar dan amalan tanpa dukungan dan sokongan secara berkumpulan.

Apatah lagi dalam konteks amalan demokrasi moden hari ini. Ketua negara, iaitu Yang di-Pertuan Agong hanya akan memberikan izin penubuhan kerajaan kepada parti yang mendapat persetujuan umum atau majoriti.

28 April 2013

Berakhirnya Industri Dhow Mandvi


TERDAPAT kira-kira 10 buah keluarga di Mandvi yang enggan berhijrah ke UAE. 

KESAYUAN jelas kelihatan pada wajah Shailesh Madiyar saat dia memeriksa limbungan kapal yang terletak di pelabuhan Mandvi, India. Lokasi yang sinonim dengan pembinaan kapal kayu sejak berabad lamanya itu kini terbiar sepi tanpa penjagaan rapi.

"Empat tahun lalu, kira-kira 20 buah kapal dibuat pada satu-satu masa tetapi kini hanya dua buah kapal yang tinggal," ujar Shailesh daripada Persatuan Pembina Kapal Mandvi.

"Hari ini kapal yang dibina tidak melebihi lima atau enam buah dalam setahun," tambahnya sambil menunjuk ke arah beberapa buah kapal separuh siap yang tersadai selepas pembinaan dihentikan.

Mandvi terletak di tebing sungai Rukmavati yang mengalir menuju ke Laut Arab. Bandar terpencil yang terletak di barat Gujarat itu merupakan tempat pembinaan kapal dan perdagangan laut yang popular sejak zaman dahulu.

27 April 2013

Rokok Elektronik Bukan Penyelesaian Ketagihan


KEPEKATAN nikotin tanpa piawaian dalam rokok elektronik boleh menyempitkan saluran darah sehingga mengakibatkan strok.

SUDAH bertahun Khairul Hanafi Othman, 32, cuba mencari solusi untuk menghentikan ketagihan merokok yang dialaminya sejak 11 tahun lalu. Masalah ketagihan merokok berlarutan sehinggalah tahun lalu, anak kelahiran Temerloh, Pahang itu mendapat perkhabaran mengenai kesihatan anak keduanya, Nur Salina yang berusia empat tahun menghidap penyakit lelah.

"Ketika menerima berita itu, saya merasa sangat bersalah kerana menjadi faktor utama kepada penyakit dialami Nur Salina," luah Khairul Hanafi yang bekerja dalam sektor awam ketika ditemui oleh Kosmo! baru-baru ini.

Masalah seperti anak Khairul Hanafi sering berlaku kepada kebanyakan perokok pasif. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), perokok pasif tidak merokok, tetapi terdedah kepada asap rokok sekurang-kurangnya 15 minit dalam masa dua hari untuk tempoh seminggu.

26 April 2013

Beri Satu Dapat Sepuluh



PADA suatu hari, Siti Fatimah teringin memakan epal. Lalu Saidina Ali keluar mencarinya buat isteri tercinta. Dalam perjalanan pulang, Saidina Ali terserempak dengan seorang lelaki miskin yang meminta sedikit makanan daripadanya kerana sudah lama tidak makan.

Saidina Ali menjadi berbelah bahagi antara isteri serta membantu si miskin itu. Namun, atas dasar kemanusiaan dan persaudaraan sesama Islam, disulami rasa tanggungjawab sebagai suami, dia memotong buah epal itu kepada dua bahagian. Sebelah disimpan untuk isterinya dan sebelah diberikan kepada lelaki miskin tersebut.

Lelaki itu meminta lagi kerana terlalu lapar. Situasi ini membuatkan Saidina Ali berada dalam dilema. Oleh kerana terlalu belas kepada si miskin itu, maka baki epal yang sebelah itu turut diberikan kepada lelaki miskin itu.

25 April 2013

Bahaya E-Mel Penggodam


PERIKSA dulu kesahihan e-mel yang diterima sama ada dengan membuat panggilan terus atau melakukan carian di internet.

RATA-RATA pengguna internet mempunyai sekurang-kurangnya satu akaun e-mel untuk berkomunikasi di dunia siber. Secara purata pada hari ini, seseorang itu mempunyai dua akaun e-mel, satu untuk kegunaan peribadi, manakala lagi satu untuk kegunaan pejabat.

Namun begitu, selaku pengguna e-mel kita berhadapan dengan pelbagai risiko antaranya:

- Pendedahan maklumat peribadi atau korporat secara tidak sengaja
- Serangan virus terhadap sistem komputer
- Memberikan maklumat kepada penggodam dengan maklumat yang cukup
     bagi menceroboh sistem rangkaian korporat

24 April 2013

Evolusi Dan Mutasi Selsema Burung H7N9

Gambar hiasan
Gambar hiasan

Ayam sebar virus H7N9

Penyelidik mengesahkan virus selesema burung H7N9 yang mula dikesan Februari 2013 lalu disebarkan oleh ayam di pasar haiwan ternak kepada manusia. Pasar haiwan ternak banyak didapati di Asia. Hasil penyelidikan terbaru itu dilaporkan oleh majalah The Lancet.

Kes pertama jangkitan terhadap manusia dilaporkan di Shanghai sebelum virus itu dikesan di wilayah selatan Zhejiang dan Beijing di utara.

Selepas seorang pesakit berusia 39 tahun dirawat di hospital kerana virus berkenaan, sepasukan penyelidik mula menguji 486 orang yang melaporkan tanda-tanda jangkitan pernafasan.

Ia diketuai oleh Profesor Lanjuan Li dari Universiti Zhejiang, Hangzhou, China dan Profesor Kwok-Yung Yuen dari Universiti Hong Kong.

Ujian mereka menunjukkan tiga daripada pesakit dijangkiti virus H7N9 dan meneruskan kajian bagi mengenal pasti petanda jelas jangkitan. Oleh kerana semua pesakit terdedah kepada haiwan ternakan, mereka berusaha mengesahkan bagaimana jangkitan berlaku daripada ternakan kepada manusia.

23 April 2013

Kekalkan Semangat Kejiranan Dalam Hadapi Pilihan Raya Umum


Jangan biarkan ideologi politik sebagai punca yang merosakkan semangat kejiranan antara kita. Secara analoginya lihatlah betapa bendera-bendera di atas ini begitu harmoni berada di dalam satu kawasan yang sama walaupun mewakili parti politik yang berbeza.

Ketika ini, topik perbincangan paling 'popular' dan 'hangat' diperkatakan sudah semestinya apa sahaja yang berkaitan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Tidak kisahlah sama ada di warung kopi, bersama keluarga, saudara mara, sembang rakan di taman, sembang di dalam facebook mahupun di mana-mana sahaja landasan mediumnya, isu berkenaan bagaikan sudah menjadi pandemik dalam kalangan masyarakat.

Bersesuaian dengan PRU13, yang digelar sebagai 'ibu segala pilihan raya', warganegara Malaysia kini masing-masing begitu teruja, bersemangat dalam mengecapi segala arus informasi kerana tidak mahu ketinggalan untuk merasai bahang yang kian memuncak itu.

Tidak terkecuali, senario kemeriahan pilihan raya turut dirasai di sesebuah kawasan kejiranan. Lihatlah di mana-mana sahaja kawasan berkenaan, pasti jelas akan suasana perang poster dan bendera, mewakili pelbagai parti yang bertanding.

Selain berperanan sebagai medium kempen bagi parti politik, ia juga adalah manifestasi wujudnya kebebasan berpolitik dalam masyarakat negara ini.

22 April 2013

Katak Dan Kodok Bukan Amfibia Hodoh



KATAK dan kodok. Kedua-dua amfibia ini pasti tidak termasuk dalam senarai haiwan peliharaan yang menjadi dambaan kanak-kanak mahupun orang dewasa kerana terlalu jauh untuk dimasukkan dalam kategori haiwan yang comel.

Ia sering digambarkan sebagai haiwan yang hodoh, jijik dan menggelikan. Namun, realitinya haiwan dua alam berdarah sejuk dan bertulang belakang itu merupakan haiwan yang unik dan istimewa.

Oleh sebab selalu dipinggirkan dan tidak mendapat ‘publisiti’ meluas berbanding haiwan lain, mungkin ramai yang masih khilaf dan tidak dapat membezakan antara katak dan kodok.



Buat masa sekarang ini, anda boleh mengetahui lebih lanjut mengenai katak dan kodok jika anda berpeluang meluangkan masa mengunjungi Pameran Katak dan Kodok di Muzium Alam Semula Jadi di Putrajaya. Pameran ini berlangsung sejak 22 Mac hingga 22 April, 2013.

Dibuka setiap hari bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang, ia tidak mengenakan sebarang bayaran masuk buat kanak-kanak manakala orang dewasa hanya perlu membayar RM2 seorang dan RM5 buat warga asing.

21 April 2013

PRU-13: Calon Sah Layak Bertanding (Bahagian 2)

SENARAI CALON YANG BERTANDING DALAM PRU-13 BAGI NEGERI:
PERLIS, PULAU PINANG, SABAH, SARAWAK, SELANGOR, TERENGGANU DAN WILAYAH PERSEKUTUAN.


Siapa Lawan Siapa?

Senarai calon siapa lawan siapa dalam PRU-13 ini saya kongsikan berdasarkan maklumat daripada akhbar tempatan yang saya nyatakan. Senarai ini agak panjang kerana ianya melibatkan 14 negeri dalam Malaysia meliputi semua calon yang bertanding kerusi Parlimen dan DUN.

Saya pecahkan senarai ini kepada 2 bahagian. Bahagian 2 ini mengandungi senarai calon daripada 7 negeri lagi iaitu; Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Terengganu dan Wilayah Persekutuan.

Bagi memudahkan pencarian, saya susun maklumat mengikut negeri, mengikut susunan abjad menaik. Saya juga meletakkan bendera negeri untuk memudahkan pencarian pantas secara visual semasa anda skrol maklumat ke bawah. Segala kesulitan yang anda alami amat dikesali.

Lihat Juga: PRU-13: Calon Sah Layak Bertanding (Bahagian 1)

20 April 2013

PRU-13: Calon Sah Layak Bertanding (Bahagian 1)

SENARAI CALON YANG BERTANDING DALAM PRU-13 BAGI NEGERI:
JOHOR, KEDAH, KELANTAN, MELAKA, NEGERI SEMBILAN, PAHANG DAN PERAK.


Siapa Lawan Siapa?

Senarai calon siapa lawan siapa dalam PRU-13 ini saya kongsikan berdasarkan maklumat daripada akhbar tempatan yang saya nyatakan. Senarai ini agak panjang kerana ianya melibatkan 14 negeri dalam Malaysia meliputi semua calon yang bertanding kerusi Parlimen dan DUN.

Saya pecahkan senarai ini kepada 2 bahagian. Bahagian 1 ini mengandungi senarai calon daripada 7 negeri iaitu; Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang dan Perak.

Bagaimanapun bagi memudahkan pencarian, saya susun maklumat mengikut negeri, mengikut susunan abjad menaik. Saya juga meletakkan bendera negeri untuk memudahkan pencarian pantas secara visual semasa anda skrol maklumat ke bawah. Segala kesulitan yang anda alami amat dikesali.

Lihat Juga: PRU-13: Calon Sah Layak Bertanding (Bahagian 2)

Sejarah China di Dataran Tiananmen


POTRET Mao Zedong turut digantung di Menara Tiananmen.

MEMORI berdarah di Dataran Tiananmen sentiasa menjadi kenangan seluruh penduduk di Beijing, China. Kejadian perhimpunan politik yang bertukar menjadi pembunuhan beramai-ramai disiarkan di kaca televisyen pada tahun 1989.

Kejadian yang bermula dengan demonstrasi oleh pelajar prodemokrasi pada musim panas tahun tersebut telah dicemari dengan keganasan yang dicetuskan oleh tentera China.

Itulah peristiwa yang berlaku lebih dua dekad lalu. Kini, Dataran Tiananmen menjadi salah satu destinasi yang wajib dikunjungi pelancong yang bercuti di Beijing.

Pancing Undi Wanita

Meraih keberkatan dalam berkempen

Ceramah politik selalunya gah diperkatakan pada setiap pilihan raya, yang menjadi ukuran respons pengundi kepada populariti tokoh, parti politik yang diwakilinya dan isu yang memancing perhatian pengundi.

Kempen bagi pilihan raya umum ke-13 ini, menyaksikan perkara yang serupa dan bukan menjadi suatu rahsia juga apabila kempen melalui ceramah-ceramah besar ini perlu dibantu untuk memastikan isu yang dibangkitkan benar-benar sampai kepada pengundi.

Lebih-lebih lagi kepada kaum wanita yang tidak semua gemar menghadiri ceramah hingga ke larut malam atau bersesak dengan kaum adam pada majlis sedemikian. Padahal peranan mereka amat diperlukan. Undi mereka menjadi kiraan besar, penentu kalah menang calon yang bertanding.

Jika ada pengundi yang terang-terangan mengatakan mereka masih tidak yakin untuk mengundi siapa dan masih berada di atas pagar, penasihat yang harus dicari mereka secara peribadi ialah kaum wanita.

19 April 2013

Ciri Pemimpin Adil Dan Berwibawa


Miliki sikap belas kasihan, penyayang dan prihatin kebajikan rakyat bukti ketinggian iman

Menentukan dan memilih pemimpin adalah perkara penting dan menjadi kewajipan. Sejarah Islam membuktikan apabila wafatnya Rasulullah SAW, maka seorang khalifah terus dilantik menjadi pemimpin bagi menggantikan baginda.

Memilih dan melantik pemimpin bagi menguruskan hal ehwal umat Islam hukumnya wajib. Keperluan ini berdasarkan apa yang dijelaskan ayat al-Quran, hadis dan ijmak ulama.

Maksud jawatan pemimpin bukan dalam aspek pentadbiran negara semata-mata, tetapi juga membabitkan kelompok kecil. Kehidupan kita tidak terlepas berkaitan aspek kepimpinan dalam kehidupan seharian.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sekiranya kamu keluar dalam perjalanan seramai tiga orang, maka hendaklah kamu lantik salah seorang di antara kamu sebagai ketua.” (Hadis riwayat Abu Daud)

18 April 2013

Pendidikan Keselamatan Kebakaran


Usah Ambil Mudah, Didik Dari Kecil Berhubung Keselamatan Kebakaran

Sikap sambil lewa, ambil mudah dan 'tidak apa' terutama bila membabitkan keselamatan kebakaran sebenarnya boleh memberi kesan kepada diri sendiri, keluarga dan jiran.

Setiap tahun ada sahaja mangsa yang dilaporkan menjadi korban dalam kebakaran. Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melaporkan 98 orang maut dan 152 orang cedera dalam 29,874 kes kebakaran di seluruh negara tahun 2012 lepas.

Ia melibatkan kerugian harta benda sebanyak RM11 bilion manakala yang berjaya diselamatkan berjumlah RM20 billion.

Tahap kesedaran masyarakat tentang bahaya dan pencegahan kebakaran yang rendah menyebabkan kes-kes kebakaran yang sepatutnya boleh dielakkan masih juga berlaku.

17 April 2013

Kekuatan Jati Diri Bantu Jepun Untuk Segera Bangkit



Negara matahari terbit, Jepun, tidak perlu lagi diperkenalkan kepada umum lantaran kecanggihan teknologi dan kekuatan ekonomi yang dimiliki menjadikan negara singa Asia ini antara kuasa besar dunia.

Walaupun pernah diuji dengan bencana tsunami pada 11 Mac, 2011, yang menggegarkan bahagian timur negara itu dengan gegaran bermagnitud sekuat 8.9 pada skalai Richter, serta pelbagai lagi bentuk malapetaka alam yang lain, ternyata kemusnahan fizikal yang dialami tidak pernah menggoyahkan semangat warga Jepun untuk terus bangkit semula.

Dari mana kekuatan dan semangat ini diperoleh penduduk negara gugusan kepulauan itu yang sentiasa bersemangat untuk memastikan mereka sentiasa berada di barisan hadapan dalam hampir segenap bidang?

Berikut ini dicatatkan sedikit sebanyak gambaran sebagai jawapan daripada persoalan tadi sekaligus turut membuktikan darah kepahlawanan generasi samurai ini masih deras mengalir dalam tubuh penduduk kota Nippon ini.

Senarai Penuh Calon BN Dalam PRU-13



16 April 2013

Nilai Estetika Pokok Buluh


Menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13, buluh kelihatan sangat berguna sebagai tiang bendera ...

BULUH merupakan tumbuhan yang banyak terdapat di negara ini. Selain rebungnya enak dijadikan bahan makanan, pokok buluh juga mempunyai pelbagai kegunaan.

Di kawasan-kawasan pedalaman, ia digunakan untuk membuat rakit atau titi. Selain itu, buluh dijadikan sebagai meriam buluh, perabot, kraftangan, senjata dan rumah.

Malahan, boleh dikatakan semua bahagian buluh mempunyai manfaatnya kepada manusia termasuk merawat penyakit.

Ekoran itu, pokok buluh berpotensi dalam pembangunan pelbagai produk yang boleh mendatangkan hasil pendapatan lumayan.

15 April 2013

Mendidik Anak Menabung

Mendidik anak menabung

Pendidikan terbaik untuk anak-anak disemai di rumah. Kanak-kanak lebih banyak belajar dengan memerhati daripada melakukan apa yang disuruh. Oleh itu, sebagai ibu bapa, tindakan kita memberi kesan mendalam dan perlu berhati-hati supaya tindak tanduk kita tidak bertentangan dengan apa kita katakan.

Menjaga kanak-kanak perlukan sepenuh perhatian. Malah tugas ini sama besar tekanannya, dan dalam keadaan tertentu, lebih banyak cabarannya daripada kerja biasa. Seseorang ibu bapa sepenuh masa mempunyai bidang kerja seperti ini; menyediakan sarapan, memastikan anak-anak bersarapan, menyediakan bekal, menghantar ke sekolah dan selepas itu berkejar pulang untuk membasuh kain baju pula.

Selesai semua tugas itu, tiba pula menyiapkan makan malam, menghidangkan, basuh pinggan, memandikan anak-anak serta memastikan mereka tidur pada waktunya. Tidak hairanlah banyak pusat jagaan kanak-kanak dan agensi pengambilan pembantu rumah tumbuh bagai cendawan pada musim hujan.

14 April 2013

Pilihan Antivirus Percuma


PELBAGAI perisian antivirus boleh didapati di pasaran bagi melindungi komputer anda. 

INTERNET membawa banyak kebaikan kepada manusia sejagat sekali gus memperkenalkan konsep dunia tanpa sempadan. Internet membolehkan pelbagai jenis tugas dan urusan dilaksanakan secara dalam talian tanpa perlu berada di lokasi secara fizikal.

Pengguna tidak perlu ke bank untuk pemindahan wang atau ke butik pakaian semata-mata mahu membeli sehelai pakaian. Semua itu boleh dilakukan dengan menggunakan komputer, tablet atau telefon pintar yang mempunyai capaian internet, malah bil utiliti juga boleh dilunaskan dengan gajet tersebut.

Begitupun, di sebalik kecanggihan teknologi itu, terdapat risiko yang perlu ditanggung oleh mereka yang memanfaatkan kemudahan tersebut. Spyware, virus, trojan, laman web palsu dan penggodam merupakan ancaman terhadap mereka yang melayari laman web.

13 April 2013

Buku Resipi Khusus Untuk Pesakit Dialisis


Ramai abai pengurusan makanan

"Makan kena pantang. Tak boleh makan nasi biasa, yang berkanji dan tinggi karbohidrat, tak boleh ambil banyak makanan manis, tinggi kandungan protein dan garam.

"Jangan sampai terlebih ayam, ikan, daging, hati dan soya. Semuanya kena hati-hati kalau nak makan."

"Kalau dah semua tak boleh, habis saya nak makan apa?" Keluhan yang sering ditimbulkan oleh kebanyakan pesakit yang menjalani rawatan dialisis.

Malah kebanyakan pesakit mengakui mereka lebih ditekankan mengenai apa yang tidak boleh dimakan berbanding apa yang boleh dimakan sehingga mendatangkan stres.

12 April 2013

Waspada Dalam Terima Dan Sebar Maklumat



DUNIA masa kini menyaksikan maklumat terlalu pantas bergerak. Setiap detik kita menerima maklumat baharu dan menghantar maklumat tersebut kepada pihak lain. Proses menerima dan menghantar maklumat ini banyak terkesan akibat penggunaan Internet yang semakin rancak hari demi hari. Lantaran itu, akses kepada maklumat di seluruh dunia menjadi semakin mudah dan masyarakat mula berfikiran luas dan lebih berinformasi.

Namun, di sebalik kelebihan dan manfaat ini, kita perlu berwaspada dalam menerima maklumat yang disebarkan. Terdapat di kalangan kita yang terus mempercayai sesuatu maklumat tanpa usul periksa. Mudarat akan menjadi lebih besar sekiranya kita pula yang bertindak untuk menyebarkan maklumat tersebut tanpa mengetahui kesahihannya terlebih dahulu.

Islam mendidik kita disiplin dalam menerima sesuatu maklumat. Kita diajar untuk berhati-hati dengan menyelidik dan mengkaji terlebih dahulu maklumat tersebut.

Ini sejajar dengan firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan. (al-Hujuraat: 6)

11 April 2013

Semak Pusat Mengundi Melalui SMS Dan Web SPR



Orang ramai boleh mula membuat semakan mengenai pusat dan saluran mengundi bagi pilihan raya umum ke-13 (PRU13) mulai 15 April, 2013 menerusi laman web dan khidmat pesanan ringkas (SMS).

Semakan boleh dibuat di laman web SPR www.spr.gov.my dan portal rasmi PRU13 di www.pru13.gov.my serta melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip SPR jarak SEMAK jarak NO. KAD PENGENALAN dan hantar ke 15888.

Tiga kemudahan tambahan SMS turut disediakan oleh SPR iaitu, bagi pengguna Celcom boleh hantar ke 29292, pengguna Maxis hantar ke 33080 dan 22789 manakala pengguna Digi ke 33080.

10 April 2013

Tarikh Mengundi PRU-13 Adalah 5 Mei 2013


Lagu popular sepanjang bulan ini sehinggalah di ambang tarikh 5 Mei, 2013.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada Sabtu, 20 April 2013, manakala membuang undi pula jatuh pada Ahad, 5 Mei 2013.

Hari pengundian awal pula adalah pada 30 April 2013. Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof turut menyatakan tempoh berkempen kali ini adalah selama 15 hari. [Kosmo: 10/04/2013]

Akhirnya tarikh yang sangat ditunggu-tunggu oleh rakyat Malaysia untuk PRU-13 telah dimaklumkan untuk pengetahuan umum. Pastinya ramai di kalangan rakyat Malaysia tidak sabar-sabar lagi untuk menanti ketibaan tarikh penting tersebut.

Seorang rakan menyatakan perasaan tidak sabar-sabar menanti ketibaan tarikh tersebut melebihi perasaannya menyambut hari raya. Ini kerana hari raya disambut setiap tahun, tetapi hari Pilihan Raya disambut setiap lima tahun.

Anda pula bagaimana?

Proses Bantahan Pada Hari Penamaan Calon Dimansuhkan


Senarai calon bertanding boleh didapati melalui portal rasmi PRU-13 iaitu http://www.pru13.gov.my.

Tiada menang percuma

Buat kali pertama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memansuhkan proses bantahan pada hari penamaan calon serta penarikan balik pencalonan pada PRU-13 bagi melancarkan lagi proses pilihan raya.

Justeru, PRU-13 tidak akan menyaksikan ‘kemenangan percuma’ seseorang calon berikutan kertas pencalonannya ditolak atas sebab teknikal pada hari penamaan calon hasil bantahan sesetengah pihak, biasanya parti lawan kepada calon itu.

Setiausaha SPR, Datuk Kamaruddin Mohamed Baria, berkata pemansuhan yang berkuat kuasa 30 April 2012 lalu itu sekali gus dapat menjimatkan masa dan melicinkan proses penamaan calon di seluruh negara yang dijangka selesai selewat-lewatnya jam 11 pagi.

09 April 2013

Masyarakat Matang Dalam Demokrasi



Sudah lebih lima dekad sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan diamalkan secara aman dan tertib sehingga mampu menjadi asas kestabilan dan kemakmuran nasional yang dinikmati rakyat selama ini.

Pertukaran kerajaan di beberapa negeri mengikut mandat yang diberi rakyat membuktikan integriti proses pilihan raya negara adalah berwibawa, adil dan telus sejak pilihan raya umum pertama pasca Merdeka lagi pada 1959.

Hakikat ini juga menunjukkan kuasa mutlak untuk memilih kerajaan tetap berada di tangan rakyat apabila proses demokrasi berjalan dengan aman dan keputusannya dihormati semua pihak. [BHarian]

08 April 2013

'UNDI PRU 13' Aplikasi Percuma Untuk Telefon Pintar



Maklumat Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 boleh diakses dengan lebih mudah menerusi aplikasi telefon pintar yang dicipta khusus untuk memenuhi keperluan generasi celik teknologi maklumat.

Aplikasi dinamakan 'E-Undi PRU13', dicipta oleh syarikat pembangunan aplikasi tempatan, Appandus Sdn Bhd dan ia, boleh dimuat turun pengguna secara percuma melalui Google Playstore atau Apple App Store.

Menurut laman sesawang syarikat itu, aplikasi berkenaan menyediakan maklumat antara lain, kedudukan 727 kawasan pilihan raya kecuali kerusi Dewan Undangan negeri (DUN) Sarawak, nama bekas dan penyandang kerusi Parlimen dan kerusi DUN, nama parti serta carian fleksibel untuk apa-apa maklumat lain.

Maklumat itu dikumpul dan disusun daripada data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Wikipedia. Syarikat itu menyatakan pengguna aplikasi itu juga akan dimaklumkan mengenai tarikh-tarikh penting berkaitan PRU13 serta kempen ceramah.

"Pengguna juga boleh berkongsi keputusan, berita atau maklumat melalui Facebook, Twitter atau e-mel," katanya. - BERNAMA

Sumber: BHarian [2013/04/08]

Detik Penentuan Melalui Pilihan Raya Umum


Orang ramai beratur untuk membuang undi pada pilihan raya umum keempat pada Ogos 1974.

KEHANGATAN Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) semakin terasa. Proses pemilihan kerajaan yang diadakan setiap lima tahun itu menjadi topik utama hampir di setiap dada akhbar.

Topik berkenaan juga sering menjadi perbualan hangat di kedai-kedai kopi dan menjadi perdebatan antara penyokong parti-parti politik di laman internet.

Apa pun, bukan sekadar ahli-ahli politik, khususnya calon yang bakal bertanding, tetapi rakyat juga sudah bersedia melaksanakan tanggungjawab yang hanya ditunaikan setiap lima tahun iaitu mengundi pada pilihan raya.

Menyingkap semula sejarah pilihan raya di negara ini, pilihan raya umum (PRU) pertama negara berlangsung pada 1959 yang mana sebanyak 104 kerusi Parlimen telah dipertandingkan.

07 April 2013

Lebih 10 Elemen Baharu Dilaksana Pada PRU13



Empat peraturan baharu adalah antara pelbagai penambahbaikan yang akan dilaksanakan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) bagi memastikan ketelusan dalam proses pengundian.

Empat peraturan baharu itu ialah penggunaan dakwat kekal; pengundian awal oleh anggota polis dan tentera menggantikan undi pos; membenarkan orang kelainan upaya (OKU) membawa orang dipercayai untuk membantu semasa pengundian, serta pemansuhan proses bantahan dan penarikan balik pencalonan.

Peraturan-peraturan itu dilaksanakan berikutan pindaan terhadap Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981 (Pindaan) 2012 dan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003 (Pindaan) 2012.

06 April 2013

Amanah Kerajaan Sementara Mengikut Perlembagaan



Adakah jemaah Kabinet terbubar secara automatik dengar terbubarnya Parlimen? Persoalan sama, adakah barisan EXCO di negeri-negeri juga terbubar dengan terbubarnya Dewan Undangan Negeri (DUN). Persoalan ini menjadi penting dalam perkembangan semasa tanah air.

Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan negeri-negeri tidak mempunyai peruntukan khusus berkaitan pembubaran barisan jemaah Kabinet dengan terbubarnya Dewan Rakyat. Dengan kata lain, Perlembagaan tidak menyatakannya dengan terperinci.

Selepas diteliti perbincangan ketika penggubalan Perlembagaan, didapati jemaah menteri juga terbubar dengan sendirinya selepas berlakunya pembubaran Parlimen. Sama ada pembubaran secara automatik selepas tamat tempoh hayat Parlimen atau Parlimen dibubarkan atas permintaan Perdana Menteri dengan persetujuan Yang di-Pertuan Agong. (Hanya Dewan Rakyat yang terbubar, Dewan Negara tidak terbubar).

05 April 2013

Umar Abdul Aziz Menangis Sebaik Ditabal Menjadi Khalifah



Nama sebenar Khalifah Umar bin Abdul Aziz ialah Abu Jaafar Umar bin Abdul Aziz bin Marwan bin al-Hakam bin Abu al-‘As bin Umayyah bin Abd Syams bin Abdul Manaf al-Qurasyi al-Umawiy. Ibu beliau ialah Ummu ‘Asim Laila binti ‘Asim bin Umar bin al-Khattab yang digelar Abu Hafs.

Khalifah Umar bin Abdul Aziz telah dilantik menjadi khalifah melalui surat watikah pelantikan daripada Khalifah Sulaiman pada bulan Safar, tahun 99 Hijrah dan memegang tampuk pemerintahan selama dua tahun lima bulan iaitu menyamai pemerintahan Saidina Abu Bakar as-Siddiq.

Umar bin Abdul Aziz seorang khalifah yang zuhud dan beliau wajar dicontohi oleh barisan kepimpinan dalam menjamin kesejahteraan serta keamanan negara. Ini kerana pemimpin yang zuhud lebih mengutamakan rakyatnya dan amanah sebagai seorang pemimpin.

04 April 2013

PM Umum Pembubaran Parlimen Untuk PRU-13


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembubaran Parlimen secara langsung menerusi TV1 di Kuala Lumpur pada 3 April 2013.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada jam 11.30 pagi, 3 April 2013 telah mengumumkan pembubaran Parlimen mulai hari tersebut bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) diadakan dalam tempoh 60 hari.

Ucapan PM berhubung pembubaran Parlimen

"Saya ingin memaklumkan kepada rakyat Msia bahawa pada pagi ini telah mengadap Yang d-Pertuan Agong dan menyembah warkah kepada baginda memohon perkenan supaya Parlimen Ke-12 dibubarkan pada hari ini Rabu 3 April 2013.

Sehubungan dengan itu, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, Baginda telah pun memperkenankan bagi Parlimen Ke-12 dibubarkan berkuatkuasa hari ini

Sehubungan dengan itu, saya menasihatkan kepada ketua-ketua kerajaan negeri yang berkenaan untuk mengadap ketua-ketua negeri mereka bagi mendapat perkenan pembubaran DUN masing-masing agar pilihan raya umum dapat diselaraskan secara serentak di seluruh negara.

03 April 2013

Langkawi Geopark Khazanah Bernilai

Tidak ramai yang tahu tentang wujudnya geopark di Langkawi. Kebanyakan pengunjung yang mengunjungi Langkawi akan menumpukan lawatan mereka ke tempat-tempat membeli belah selain tempat-tempat peranginan yang biasa-biasa termasuk kawasan pantainya.

Perkataan Geopark itu sendiri begitu asing bagi kebanyakan daripada kita. Ikuti maklumat lanjut tentang Langkawi Geopark yang tercatat dalam artikel yang berikut ini. Semoga Langkawi Geopark menjadi salah satu destinasi kunjungan kita setiap kali bercuti di Langkawi.



Kilim Geoforest Park antara lokasi tumpuan pelancong.

Langkawi telah diiktiraf sebagai geopark global di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan (Unesco) pada 1 Jun 2007, dan dikenali sebagai Langkawi Geopark.

Ketika mendapat pengiktirafan dunia daripada Unesco pada 2007, Langkawi Geopark adalah geopark global yang pertama di Asia Tenggara dan yang ke-52 di bawah Global Geoparks Network (GGN), Unesco.

Kini sudah pun terdapat 93 buah geopark global di 29 negara. Namun, Langkawi Geopark kekal sebagai satu-satunya geopark di dunia yang berstatus bebas cukai dan meliputi 99 pulau.

Kumpulan pakar di Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (Lestari), UKM dan Jabatan Mineral dan Geosains, di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar sedang mengkaji kemungkinan memperkenalkan geopark baru di Malaysia.

02 April 2013

UIAM Kendali Perasaan Gerun Pesakit Gigi



"Gigi saya tidak sakit pun, jadi buat apa hendak jumpa doktor? Lagipun, ia masih elok dan kuat untuk mengunyah,".

Tanggapan mahupun persepsi sedemikian bukanlah sesuatu yang asing, malah ia bagaikan sudah menjadi budaya dalam kalangan masyarakat kita.

Biarpun bukan semua dan hanya membentuk satu komuniti kecil sahaja, namun pemeriksaan pergigian dilihat hanya perlu dilakukan apabila kesakitan mula menyerang dan kerosakan gigi berada pada tahap serius.

Mengapa begitu? Adakah kerana rasa takut atau kos rawatan agak mahal?

Ia dikatakan sebagai antara punca segelintir mereka tidak gemar mengamalkan pemeriksaan gigi enam bulan sekali atau paling tidak pun setahun sekali dalam sahsiah kehidupan.

01 April 2013

Sambutan Hari Tidur Sedunia



Hari Tidur Sedunia adalah acara tahunan yang dianjurkan oleh World Sleep Day Committee of the World Association of Sleep Medicine (WASM). Sambutannya telah bermula sejak tahun 2008 lagi. Ia bertujuan untuk meraikan manfaat tidur yang baik dan sihat serta untuk menarik perhatian masyarakat terhadap isu berkaitan beban masalah tidur dan kesannya dalam bidang perubatan, pendidikan dan aspek-aspek sosial. Ia juga bertujuan meringankan beban masalah tidur pada masyarakat melalui pencegahan yang lebih baik dan pengurusan gangguan tidur.

Hari Tidur Sedunia diadakan setiap tahun pada hari Jumaat ketiga dalam bulan Mac (Kecuali Hari Tidur Sedunia Pertama yang telah diadakan pada 14 Mac 2008). Acara sambutan melibatkan perbincangan dan pameran bahan pendidikan telah diadakan di seluruh dunia dan juga secara dalam talian. Pada tahun ini Hari Tidur Sedunia telah diadakan pada hari Jumaat, 13 Mac, 2013 dengan tema sambutan 'Good Sleep, Healthy Aging' [Wikipedia]